6 Perkara Yang Perlu Kita Semua Kenali Sebagai Hamba

Mengabdikan diri kepada Allah SWT adalah tugas mahupun amanah yang perlu dipikul oleh setiap hamba di muka bumi ini. Justeru, dalam melaksanakan tugas ini perlu untuk kita tahu dan mengenali beberapa perkara yang berkaitan agar ia menjadi landasan dalam kita beramal ibadah. Berikut diperincikan satu persatu;
#1 – Mengenali Allah SWT

Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan alam semesta termasuk ciptaan di langit dan bumi, pemberi rezeki, yang menghidupkan dan mematikan wajar dikenali asma’ (nama-Nya yang merangkumi 99 nama) serta sifat-sifat-Nya.
Apabila kita mengenali siapa Tuhan kita, mudah-mudahan ia akan menjadi asbab untuk kita terus melaksanakan ibadah dengan seikhlasnya. Firman-Nya bermaksud;
“Sesungguhnya, orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata; ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham); ‘Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah khabar gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu’.”
(Fushilat: 30)
#2 – Mengenali Syaitan Sebagai Musuh

Musuh utama manusia adalah syaitan. Oleh itu, wajar untuk kita kenali siapakah syaitan itu, apakah perkara yang disukai dan dibenci. Dengan begitu, diharapkan dapatlah kita menangkis segala tipu daya serta arahannya yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kebinasaan.
Allah SWT juga turut menyeru kepada kita menerusi firman-Nya yang bermaksud;
“Sesungguhnya, syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.”
(Fathir: 6)
#3 – Mengenali Akhirat Sebagai Tempat Akhir

Tempat akhir bagi seluruh manusia di muka bumi ini adalah akhirat. Oleh itu, wajar dan perlu kita mempersiapkan diri untuk menuju ke sana. Mengenali serta menyakini bahawasanya akhirat itu tempat abadi juga dapat menjadi motivasi kepada kita untuk meningkatkan ketakwaan seterusnya menghindarkan diri daripada tipu daya dunia.
#4 – Mengenali Dunia yang Bakal Hancur

Mengenali dunia yang didiami kini adalah tempat persinggahan bahkan bakal hancur di kemudian hari. Dengan begitu, sedarlah kita bahawasanya apa-apa yang dilakukan semasa di dunia ini bakal dihisab oleh Allah SWT. Jika baik di dunia, maka selamatlah di sana.
#5 – Mengenali Hukum Hakam Dan Kebenaran

Segala hukum hakam, hak serta kebenaran tentang sesuatu perkara dalam Islam perlu diketahui serta dihadam sebaiknya. Ini kerana ia berkait dengan perhitungan untuk bekalan ke akhirat sana nanti.
#6 – Mengenali Hal-hal Kebatilan

Juga, perlu untuk kita sebagai umat Islam mengenali segala perkara yang batil iaitu hal-hal yang tidak benar, bahkan tidak terdapat dalam ajaran Islam lalu berusaha untuk menjauhinya. Untuk itu, bagi mencapai perkara yang kelima dan keenam ini, kita digalakkan untuk berdoa seperti berikut;
“Ya Allah, ya Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku kebenaran dan anugerahkanlah kepada kami agar boleh mengikutinya. Dan, tunjukkanlah kebatilan kepada kami dan anugerahkanlah kami agar dapat menjauhinya dan janganlah Engkau menjadikan kami bercelaru (menjadi haru biru pada kebenaran dan kebatilan tersebut) sehingga menyebabkan kami akan tersesat. Dan, jadikanlah kami sebagai imam (pemimpin) bagi sekalian orang-orang yang bertakwa).”
Allah sebagai Tuhan, syaitan sebagai musuh, akhirat sebagai garisan penamat, dunia sebagai tempat persinggahan, kebenaran juga kebatilan sebagai penanda aras dalam menjalani kehidupan.
Begitulah enam perkara yang perlu kita sama-sama kenali seterusnya menjadi bekalan untuk dipersiapkan ke negeri abadi; tempat akhir bagi semua kehidupan di atas muka bumi ini. Moga bermanfaat dan selamat beramal. Wallahua’lam.

Add Comment