Adakah Wajib Membaca Doa Iftitah ketika Solat Fardu dan Solat Sunat ?

#1. Doa iftitah adalah sunat boleh dibaca ketika solat fardu dan solat sunat.

Membaca doa iftitah setelah takbirat al-Ihram merupakan satu tuntutan Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam. Ianya merupakan satu bentuk pujian, sanjungan dan mengagungkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Terdapat sebegitu banyak hadis yang menunjukkan baginda shalallahu ‘alaihi wasallam amat menitik beratkan pembacaan doa iftitah ini.

Walaupun majoriti ulama’ menyatakan membaca doa iftitah ini hanyalah sunat dan tidak membatalkan solat sekiranya tidak dibaca, namun bagi kita yang benar-benar ingin mengikuti sunnah Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam serta mempraktikkan suruhannya sebagaimana sabdanya:”Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.]

Maka sewajarnya kita tidak meninggalkan doa iftitah ini. Apatah lagi memang telah ada dalil dari Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam yang menunjukkan bahawa doa iftitah ini adalah termasuk dalam perkara yang dapat menyempurnakan ibadah solat:

لاَ تَتِمُّ صَلاَةٌ لأَحَدٍ مِنْ النَّاسِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ فَيَضَعَ الْوُضُوءَ يَعْنِي مَوَاضِعَهُ ثُمَّ يُكَبِّرُ وَيَحْمَدُ اللَّهَ جَلَّ

وَعَزَّ وَيُثْنِي عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ بِمَا تَيَسَّرَ مِنْ الْقُرْآنِ.

Maksudnya, “Tidak sempurna solat seseorang sehingga dia menyempurnakan wuduknya sebelum dia bertakbir, memuji Allah ‘Azza wa Jalla, menyanjung-Nya, dan membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah baginya (dihafalnya)…” [Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 856.]

Sumber: http://tanyalahustaz58.blogspot.my

Add Comment