Apa Nak Buat Jika Berlaku Kematian Di Tengah Malam? Baca Perkongsian Dari Pengurus Jenazah Ini

Soal kematian adalah urusan Allah Taala. Tiada siapa tahu, bila dan bagaimana. Pasti kita akan panik jika berlaku kematian dalam rumah lebih-lebih lagi berlaku di tengah malam di saat semua orang sedang lena tidur.
Ditambah pula dengan kesedihan kehilangan orang tersayang. Membuatkan kita tak mampu berfikir dengan betul.
Cari orang masjid? Panggil saudara mara? Kejutkan jiran? Apa yang perlu dibuat terlebih dahulu?

Pengurus jenazah Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur, Ustaz Hamdan bin Haji Md Yusuf yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengurus jenazah berkongsi pengalamannya.

 

Sedikit sebanyak kita perlu ada pengetahuan cara menguruskan jenazah – Ustaz Hamdan

Jelasnya, apabila seseorang Islam itu didapati sakit kuat, ada tiga perkara harus dilakukan iaitu bertaubat, berwasiat dan bersangka baik kepada Allah.
Apabila ada tanda-tanda hampir kepada kematiannya, sunat kita sebagai anak membacakan Surah Ya’sin di sisi ibu atau ayah.

Bacakan juga surah Ar-Rokdhu, beri ia minum sedikit, titiskan air ke dalam mulut, basahkan muka dan dadanya selain sunat diajarkan mereka mengucap.
Tambah Ustaz Hamdan, apabila seseorang itu sudah ada tanda-tanda ke arah kematian, kita boleh melihat tanda-tanda seperti di bawah ini.

Tanda akhir kematian
Antaranya tanda yang berlaku adalah tapak kaki mulai lurus. Tak ada lekuk-lekuk lagi sebagaimana kita yang masih hidup. Ada ketikanya memutih saja tapak kakinya. Pegang pun sejuk saja.

Tapak kaki orang yang hampir meninggal biasanya lurus, pucat dan semakin sejuk -sumber gambar internet
Tanda lain ialah hidungnya nampak seakan tunduk. Paling mudah, seperti jatuh. Pelepisnya melekuk. Pergelangan tanganya mulai renggang. Terdapat keluarnya peluh yang berlainan warna (berwarna kuning).
Apa yang harus dilakukan menghadapi perkara ini?

Bila berlakunya kematian, lebih-lebih lagi waktu tengah malam inilah yang harus anda lakukan. Ingat, inilah kali terakhir anda berbakti kepada ibu dan ayah kerana selepas ini, kita hanya akan bertemu di alam akhirat.
Di Padang Masyhar di mana semua akan dibangkitkan untuk bertemu Allah, kita tak akan saling mengenali di antara satu sama lain biar semasa di dunia dialah ayah, dialah ibu atau dialah adik beradik kita. Jadi berbuat baiklah di dunia sementara masih ada kesempatan dan peluang.

TONTON VIDEO PENUH INI:

 

Inilah cara uruskan jenazah

1.Jenazah harus di tempat tinggi seperti katil atau pangkin. Ini memudahkan kita menguruskan jenazah dengan baik.
2. Buang semua pakaian yang dipakai. Kalau perlu gunting maka guntinglah.
3. Bersihkan anggota tubuh jenazah, khususnya yang mungkin terpalit najis seperti air kencing atau berak. Ini bagi mengelakkan ada bauan yang tidak menyenangkan ketika orang datang menziarah.
4. Tutupi jenazah dengan kain putih dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya bagi mengelak aib sebelum meletakkan kain batik lepas di atasnya.
5. Baringkan jenazah dengan kakinya mengadap ke arah kiblat. Jika semasa kita hidup, muka kita mengadap kiblat, bila meninggal sebaliknya.
6. Letakkan seketul besi atau sebilah gunting di atas perut. Petua ini dilakukan bagi mengelakkan perut jenazah mengalami kembung semasa menunggu hari siang yang mana udara boleh memasuki lubang telinga dan lubang hidungnya.
7. Telefonlah segera waris dan ahli keluarga yang terdekat untuk memaklumkan yang kita baru saja kehilangan orang yang kita kasihi.
8. Pergi buat satu laporan polis memaklumkan berlaku kematian di rumah kita. Jika kes tidak melibatkan sebarang unsur jenazah, pihak polis yang datang akan memberikan kita permit pengkebumian. Tapi kalau ada unsur-unsur jenayah, siasatan lebih teliti dan akan membabitkan pihak hospital untuk post mortem.
9. Bila sudah ada permit pengkebumian, rujuklah kepada pihak masjid atau surau. Maklumkan kepada mereka. Ini bagi memudahkan pihak Ajk masjid membuat urusan seperti menyuruh pihak penggali kubur menggali lubang, menyediakan tempat mandi dan lain-lain lagi untuk keesokkan harinya.
10. Jika waris sudah lama sakit dan terbaring di perbaringan, ambil sedikit gerharu atau setanggi dan nyalakan. Ini bagi mengelak bau yang mungkin kurang menyenangkan. Pembakaran ini sedikit sebanyak dapat menutup bau yang ada pada jenazah.
Terakhir sekali, ini yang paling penting ya.
11. Memandangkan kematian berlaku di waktu tengah malam, jangan sesekali membiarkan jenazah sendirian. Memang mereka telah meninggal dunia tetapi roh masih ada di situ lagi.
Berikan tanggungjawab kepada adik beradik untuk jaga secara bergilir-gilir. Bacakan surah Yasin atau ayat suci al-Quran di sisi arwah kerana pahala ini akan terus sampai kepada mereka. Sementara yang lain mungkin boleh tidur sekejap sementara menunggu hari siang untuk urusan mandi sebelum dikebumikan.

Sumber: remaja.my

Add Comment