Berang Sikap Wanita Terlalu Obsesi Terhadap KEPUTIHAN, Profesor Ini Keluarkan Kenyataan Pedas! Mohon Ambil Iktibar

Sudah menjadi lumrah bagi setiap wanita untuk sentiasa tampil cantik. Bukan saja cantik secara luaran tetapi juga dalaman. Namun untuk mencari dan menjaga kecantikan serta kebersihan diri, wanita juga seharusnya berpada-pada. Usah keterlaluan sehingga berani mencuba bermacam-macam produk yang ada di pasaran. Bimbang nanti boleh mengundang 1001 masalah.
Terkesan dengan sikap segelintir wanita yang terlalu obsesi menjaga kebersihan bahagian intim sehingga mudah ‘tergoda’ dengan strategi pemasaran dan menggunakan produk mencegah keputihan yang banyak dijual dalam talian kebelakangan ini mencetuskan rasa kurang senang kepada Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr Imelda Balchin.
Menerusi entri yang ditulisnya di Facebook semalam, Prof. Dr Imelda kesal kerana masih terdapat wanita yang bertindak mencuba produk mencegah keputihan tanpa berfikir panjang.

“Keputihan ini NORMAL! Ini tanda perempuan yang subur. Hampa tahu tak, dok pi korek-korek, basuh letak macam-macam nanti dapat kuman penyakit. Dari keputihan yang biasa dan normal, bila hampa bagi diri sendiri kuman macam-macam, akan tukar jadi KEHIJAUAN, KEPERANGAN dan KEBUIH-BUIHAN. Saya tak mahu dengar dah hampa beli macam-macam benda merepek dan letak dekat dalam itu (vagina).”
Sebagai pegawai perubatan yang arif dalam bidang tersebut, nasihat Prof. Dr Imelda tidak perlu lagi diragui. Pasti ada sebab ia berlaku dalam sistem tubuh wanita yang telah diciptakan sejak azali. Asalkan ia tidak menjejaskan kesihatan atau iritasi di bahagian intim, itu sudah memadai. Paling utama, wanita perlu memelihara dan menjaga kesihatan diri sebaik mungkin agar tidak terdedah kepada sebarang kekotoran.
Ciri-ciri Keputihan
Seorang wanita akan mengeluarkan lendir daripada vagina ketika mengalami keputihan. Lendir yang terhasil daripada kelenjar dalam vagina dan serviks atau leher rahim ini akan keluar membawa sel-sel mati serta bakteria agar vagina kekal bersih.
Lazimnya, jumlah lendir yang keluar daripada anggota sulit wanita akan menjadi lebih banyak ketika waktu subur atau ibu yang menyusukan bayi. Lendir normal berwarna jernih dan keputih-putihan serta tidak berbau kuat, tidak menimbulkan rasa gatal mahupun pedih.
Sementara yang bermasalah apabila keputihan berubah warna, lendir lebih kental, berlebihan, berbau tajam dan iritasi di sekitar vagina.

Rawatan Keputihan

Pastikan anda mendapatkan rawatan daripada doktor dan jangan ambil ubat-ubatan tanpa nasihat pakar kerana ia akan membuatkan keputihan yang dialami semakin teruk. Jika keputihan disebabkan bakteria, anda akan diberi ubat antibiotik berbentuk pil atau krim sapu.
Selain itu, keputihan juga dapat ditangani dengan membersihkan bahagian luar alat sulit secara teratur terutamanya ketika haid atau hubungan kelamin dengan cara membersih dari arah depan ke belakang. Ia bagi mengelakkan bakteria tidak masuk ke dalam vagina.
Antara pendekatan lain yang boleh dipraktikkan adalah dengan menggunakan pakaian dalam yang tidak terlalu ketat dan basah.SUZIANAABUDAUD

Add Comment