Gantikan ‘Ok, noted’ dengan ‘Baik, maklum’

SIAPAKAH yang mengajar kita menggunakan perkataan ‘Ok’ dan ‘noted’?

Bolehkah kita ubah penggunaan dua perkataan ini dalam komunikasi harian kita dengan perkataan bahasa Melayu iaitu ‘baik’ dan ‘maklum’?

Saya percaya penggunaan perkataan-perkataan bahasa lain selain ‘ok’ dan ‘noted’ dalam ucapan harian kita adalah kerana kita sudah terbiasa dengan penggunaannya.

Barangkali kita melihat rakan kita berkomunikasi sedemikian, maka kita pun menggunakannya.

Mungkin juga kerana kita ini mahir berbahasa Inggeris, maka kita pun berasa tiada masalah untuk menuturkannya berselang seli (merojakkannya) dengan bahasa Melayu.

Akan tetapi, saya yakin tiada siapa yang pernah mengarahkan kita atau mewajibkannya dalam kehidupan seharian. Ia adalah satu pilihan.

Rasa bangga apabila menggunakan bahasa asing dalam percakapan harian adalah satu perkara yang biasa.

Biasalah, jika ada tetamu luar negara yang sampai ke tempat kita bertanyakan sesuatu dalam bahasa Inggeris, lalu kita pun menjawab dalam bahasa Inggeris, maka kita pun berbangga kerana dapat meraikan ketidakmampuannya berbahasa Melayu.

Sepatutnya, kita perlu lebih berbangga apabila ada tetamu luar berusaha bercakap dalam bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan kita. Ini kerana dia tahu kita orang Melayu dan dia cuba merendahkan egonya dan menghormati kita dengan berbahasa Melayu.

Inilah perasaan berbangga dengan bahasa ibunda. Perasaan ini tidak salah dan tidak bercanggah dengan mana-mana hukum agama atau peraturan ciptaan manusia di dunia.

Memang betul ada ungkapan mengatakan jika kita menguasai banyak bahasa lain selain bahasa ibunda, ia membuktikan kehebatan dan potensi kita untuk menguasai bangsa-bangsa lain.

Memartabatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab kita semua selaku rakyat Malaysia, tak kira bangsa.

Saya simpulkan kepentingan bahasa Melayu yang perlu kita pegang betul-betul adalah seperti berikut:

1. Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

2. Wasiat keenam daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Bahasa Melayu adalah bahasa yang hebat sehingga menjadi ‘lingua franca’ satu ketika dahulu.

4. Bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan rakyat Malaysia.

5. Bahasa Melayu adalah identiti dan jati diri kita yang perlu dipertahankan.

Dalam usaha kita memartabatkan bahasa Melayu, ayuh kita mulakan sikit-sikit mengikut kemampuan.

Saya fikir cadangan saya untuk tukar penggunaan ‘Ok, noted’ kepada ‘Baik, maklum’ adalah satu usaha yang mudah.

Ia membuktikan komitmen kita untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam percakapan harian sekaligus memberikan nilai tambah dalam diri kita bahawa kita adalah seorang yang cinta kepada bahasa kebangsaan.

Kita ada pilihan. Tepuk dada tanya selera!

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Pengarang Ismaweb.net

Add Comment