Mandi Bertelanjang Adalah Haram Sekiranya… rugi kalau tak baca

Soalan: Pohon penjelasan mengenai mandi telanjang.

Jawapan :

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Aurat lelaki bila apabila berada berseorangan adalah qubul dan duburnya. Manakala wanita aurat mereka ketika berseorangan adalah antara pusat dan lutut. Walaupun dalam keadaan berseorangan, seseorang itu tidak boleh bertelanjang atau membuka auratnya tanpa ada sebarang keperluan atau hajat.

Termaktub dalam Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/176):

“Seperti mana wajib untuk menutup aurat daripada pandangan manusia, maka wajib juga menutup aurat ke atas seseorang yang bersendirian, yakni ketika berada di tempat yang sunyi daripada pandangan manusia. Para ulama yang berpendapat dengan hukum wajib ini adalah ulama mazhab Hanafi mengikut pendapat yang sahih, ulama Syafiiyyah dan Hanabilah. Manakala berkata ulama mazhab Maliki: “Sunat hukumnya menutup aurat sendiri ketika bersunyian, menutup ini adalah dituntut sebagai sikap malu kepada Allah Taala dan para malaikat-Nya.” Mereka yang berpendapat wajib pula berkata: “Sesungguhnya diwajibkan menutup aurat (walaupun ketika bersendirian) itu berdasarkan arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak, dan juga kerana Allah Taala itu lebih layak seseorang itu malu terhadap-Nya, seperti hadis Bahz bin Hakim daripada ayahnya, daripada atuknya, berkata: Aku bertanya: “Wahai Utusan Allah! Aurat kami ini siapa yang boleh lihat dan siapa yang perlu kami awasi?” Sabda Rasulullah SAW: “Peliharalah aurat kamu, melainkan daripada isterimu atau hamba sahayamu.” Sahabat itu bertanya lagi: “Jika lelaki ketika bersama dengan lelaki?” Baginda menjawab: “Jika engkau mampu agar tidak dilihat aurat oleh seorang pun, maka hendaklah engkau lakukan.” Sahabat itu bertanya lagi: “Jika seorang lelaki itu bersendirian?” Sabda baginda: “Maka Allah lebih berhak untuk seseorang itu malu terhadap-Nya.” Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapat hajat, seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya.

NABI MUSA AS MANDI DALAM KEADAAN TIDAK BERPAKAIAN DI TEMPAT YANG JAUH DARIPADA ORANG RAMAI.

Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya, “Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa alayhissalam mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata : ’Demi Allah, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyaki aadar.’ Suatu ketika Nabi Musa pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata : ‘Hai batu, pakaianku!’. Akhirnya, orang-orang Bani Israel pun melihat Musa. Lalu mereka berkata : ‘Demi Allah, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.’ Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata : “Demi Allah, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu”. HR al-Bukhari

Ibn al-Batthal mengatakan dalam syarah Sahih al-Bukhari jilid 1 halaman 392:

“ Adapun mandian yang dilakukan Bani Israel dalam keadaan telanjang dengan melihat di antara satu dengan yang lain, maka ia menunjukkan mereka menderhakai Musa pada perkara tersebut, tidak mengikut sunnahnya kerana baginda mandi sekira-kira tiada orang yang melihat kepada baginda dan mencari kawasan yang tiada orang. Padahal wajib mereka mengikutnya pada perbuatan tersebut. Walaupun perbuatan mereka mandi telanjang ketika berseorangan di bawah pengetahuan Musa dan dia memperakuinya. Namun tidak wajib kita mengikutinya kerana dalam syariat kita hendaklah menutup aurat daripada ditonjolkan aurat pada mata-mata manusia. Ia adalah fardhu ke atas kita. Manakala menutupnya (aurat) dalam keadaan berseorangan adalah baik bukan wajib”.

NABI AYUB AS MANDI TANPA SEURAT BENANG.

Sabda Nabi SAW:

Mafhumnya, “Sewaktu Nabi Ayyub alayhissalam mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyab, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan pemberianMu.” HR al-Bukhari

Ibn al-Muhallab berkata :

“ Dalam hadith Musa dan Ayub adalah dalil keharusan bertelanjang ketika berseorangan untuk tujuan mandi dan sebagainya , sekira-kira tenteram daripada mata-mata manusia kerana Ayub dan Musa adalah antara manusia yang diperintahkan kita agar mengikut petunjuk mereka” lihat Syarah Sahih al-Bukhari karangan ibn al-Batthal.

Dalil keharusan di atas adalah berdasarkan syarak umat sebelum kita (بشرع من قبلنا).

Ibn Hajar mengatakan :

“Kesimpulannya, hukum sesiapa yang mandi tanpa sebenang urat (telanjang) sekiranya dia berada di tempat yang tersembunyi dan tidak dilihat oleh sesiapapun yang diharamkan ke atasnya melihat aurat orang tersebut, maka halal baginya untuk melakukannya. Tetapi yang afdhal adalah menutup auratnya kerana segan atau malu dengan Allah taala. Jika dia mandi sekira-kira dapat dilihat oleh seseorang maka haram orang tersebut melihat auratnya dan wajib ke atasnya menutup auratnya daripada orang tersebut secara ijmak sebagaimana diriwayatkan”. Lihat dalam Mirqaat al-Mafatih Syarah li Misykaat al-Masabiih, jilid 2 halaman 368.

Imam al-Nawawi dalm kitabnya al-Majmu`, jilid 2 halaman 197:

“ Inilah mazhab kita (harus mandi telanjang). Dan Qadhi ^Iyadh menukilkan daripada mejoriti ulama tentang keharusan mandi dalam keadaan telanjang ketika berseorangan”.

Antara adab yang perlu dijaga oleh seorang yang ingin mandi tanpa sebenang urat pun adalah sebagaimana disarankan oleh sebahagian fuqaha:

“ Sesiapa yang mandi tanpa sebarang pakaian (telanjang) disunatkan ketika menanggalkan pakaian mengucapkan “ Dengan nama Allah, tiada yang berhak disembah melainkannya” kerana ia mampu menutup seseorang daripada terkena panahan mata-mata jin”. Perkara ini disebut oleh al-Dimyathi dalam kitabnya I`anah al-Talibin, jilid 1 halaman 97.

Kesimpulan

Berdasarkan keterengan di atas jelaslah bahawa membuka aurat dalam keadaan berseorangan adalah :

Haram : jika tiada keperluan atau hajat tertentu.
Harus : jika ada keperluan seperti seseorang itu ingin melakukan qadha hajat, mandi, tabarrud (mengilangkan suasana panas), berubat, dan menukar pakaian.
والله أعلم وأحكم

Add Comment