Ofsaid ke tak ofsaid? Gol ke tak gol?

Insiden pertama berlaku ketika perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Takzim di Stadium Larkin 26 Julai lalu apabila gol Mohamed Ghaddar disahkan sebagai jaringan walaupun penyerang JDT itu berada di kedudukan ofsaid.

Dalam perlawanan itu, Perak tewas 2-1 setelah mendahului hasil jaringan sepakan percuma Hafiz Kamal.

Dan semalam di tempat yang sama dan lawan yang sama, The Bos Gaurus sekali lagi dilanda malang apabila jaringan semangat mereka dibatalkan oleh pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajudin.

Ia membabitkan pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Ipoh 15 Oktober lalu.

Insiden kontroversi itu tercetus sekitar minit ke-60 perlawanan selepas beberapa minit tuan rumah mendahului hasil jaringan Gonzalo Cabrera.

Berpunca hantaran penyerang import Perak Gilmar Da Silva, pertahanan JDT S. Kunanlan tertampan masuk bola ke gawang sendiri, namun jaringan itu tidak dikira selepas pengadil mendapati seorang lagi penyerang Perak iaitu Zaquan Adha Abdul Radzak berada dalam kedudukan ofsaid.

Insiden itu mencetuskan polemik di kalangan peminat bola sepak tanahair yang kemudiannya tampil dengan hujah dan teori masing-masing untuk mendakwa gol itu sah atau sebaliknya.

Penulis juga terkena tempiasnya apabila menerima banyak contoh mengenai situasi yang mirip sama dengan insiden di Larkin itu sama ada dalam kancah bola sepak tempatan dan luar negara menerusi aplikasi whatsapp.

Nampak begitu mudah untuk ditafsirkan jaringan itu sah kerana tiada sentuhan daripada Zaquan tetapi sebenarnya ia cukup teknikal untuk dibahaskan.

Tidak sampai 24 jam selepas insiden itu berlaku, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang juga bekas pengadil FIFA tampil memberi penjelasan lanjut kepada penulis.

Secara ringkas, Subkhiddin yang kini berada di Kolkata, India mengesahkan berlaku kesilapan terhadap keputusan pengadil berhubung insiden berkenaan kerana Zaquan tidak boleh dijatuhkan hukuman dalam kedudukan ofsaid sekaligus gol sendiri Kunanlan adalah sah.

Perak terpaksa pulang hampa dengan kekalahan 0-3 untuk keputusan agregat 1-4 dan jelas, mungkin, bukan rezeki Perak untuk menamatkan penantian 10 tahun melangkah ke perlawanan akhir.

Add Comment